
KANGAR: Menjelang sambutan Aidilfitri, anak-anak Perlis di perantauan kini dapat menikmati perjalanan pulang ke kampung dengan lebih selesa melalui Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu Negeri Perlis atau Perlis Sentral yang mula beroperasi kelmarin.
Tinjauan Harakahdaily hari ini mendapati terminal baharu ini memberikan keselesaan kepada perantau yang pulang ke kampung halaman bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka diraikan pada Isnin depan.
Perlis Sentral yang terletak di Seriab, kini menggantikan Terminal Bas Bukit Lagi sebagai hab utama pengangkutan awam di negeri ini.
Terminal ini mengintegrasikan perkhidmatan bas ekspres antara bandar, teksi, dan e-hailing, serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk platform pelepasan dan ketibaan yang lebih sistematik, tempat letak bas sementara, tempat letak teksi, surau, tandas awam, bilik menukar lampin, ruang komersial seperti kiosk dan gerai jualan, serta kaunter tiket.
Seiring dengan operasi penuh Perlis Sentral, Terminal Bas Bukit Lagi yang terletak berhampiran bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Jalan Bukit Lagi ditutup secara rasmi.
Terminal lama yang beroperasi selama beberapa dekad itu kini menjadi kenangan bagi ramai perantau yang pernah menggunakannya sebagai titik perhentian utama.
Dengan adanya Perlis Sentral serta inisiatif seperti tren khas Aidilfitri, perjalanan pulang anak-anak Perlis ke kampung halaman dijangka lebih lancar dan selesa, sekali gus memeriahkan sambutan Aidilfitri bersama keluarga. – HARAKAHDAILY 26/3/2025











