
ALOR SETAR: Sebanyak RM14.48 juta zakat fitrah diagihkan kepada asnaf pada majlis yang diadakan di Kompleks Pembangunan Asnaf, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), semalam.
Tuanku Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkenan berangkat ke majlis tersebut dan menyempurnakan penyampaian.
Pada majlis itu, Baginda turut perkenan mengurniakan Wakalah Agihan Zakat kepada beberapa sektor seperti agensi kerajaan dan swasta.
Sejumlah RM16.63 juta dikurniakan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah serta Petronas Chemicals Fetiliser Kedah Sdn Bhd.
Sebanyak RM370 juta pula diagihkan kepada sektor utama seperti makanan dan sara hidup, bina dan baik pulih rumah, pendidikan, kesihatan dan kebajikan mualaf.
Selain menyempurnakan gimik pelancaran Sedekah,Tuanku Sultan Kedah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan sebanyak RM4.37 juta daripada beberapa syarikat seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), CIMB Islamic Bank dan Environment Idaman Sdn Bhd.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali; Mufti Negeri Kedah, Dato’ Paduka Syeikh Fadzil Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Mohd Azam Abdul Samat. – HARAKAHDAILY 25/3/2025




















