Bomba sukarela penting di kawasan luar bandar

Senator Musoddak Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan bomba sukarela memainkan peranan penting dalam membantu operasi pemadaman kebakaran dan kecemasan, terutama di kawasan luar bandar yang mempunyai akses terhad kepada perkhidmatan bomba utama.

- Advertisement -

Senator Musoddak Ahmad berkata, langkah memperkemas pendaftaran pasukan bomba sukarela adalah penting bagi memastikan pengurusan pentadbiran dan kewangan yang lebih cekap.

“Apakah kriteria utama yang diletakkan dalam tatacara dan syarat bagi penubuhan pasukan bomba sukarela tertakluk kepada pindaan dalam Seksyen 4B(1) ini?

“Apakah kementerian bercadang untuk menambah jumlah pasukan bomba sukarela di kawasan pedalaman bagi memastikan pencapaian perkhidmatan yang lebih menyeluruh?

“Apakah ada usaha ke arah pemetaan geografi supaya peranan Jabatan Bomba itu lebih menyeluruh,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau turut mempersoalkan kedudukan pasukan bomba sukarela sedia ada yang telah berdaftar sebelum pindaan itu diperkenalkan.

“Ketika ini, kita sudah pun mempunyai pasukan bomba sukarela yang berdaftar. Apakah mereka juga akan tertakluk kepada pindaan ini atau kekal beroperasi sedia ada?” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2025

- Advertisement -