
KUALA LUMPUR: Mantan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, membuat laporan polis berhubung satu hantaran video mengenai kegiatan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikhuatiri menyebarkan fahaman Komunis di negara ini.
Menurutnya, video berdurasi 2 minit 57 saat yang diterima melalui telefon bimbitnya, malam tadi membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Persatuan Promosi Penyatuan Secara Aman Satu China di Malaysia.
“Dalam klip video itu dinyatakan bahawa badan atau organisasi itu tidak berdaftar dan mempromosi unsur-unsur prasangka yang merumitkan keselamatan dalam negeri.
“Bagi seseorang atau sekumpulan aktivis yang mempromosi ajaran dan kepentingan Komunis di Malaysia, ini dikhuatiri akan menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Beliau yang pernah memegang beberapa jawatan dalam kabinet berkata, video itu juga mengandungi fakta-fakta yang jelas bahawa kemaraan terhadap fahaman dan pendirian Komunis menerusi beberapa perisitiwa yang berlaku dalam negara.
Katanya, antaranya ialah peristiwa di Pulau Pinang apbila murid sekolah menyanyikan lagu patriotik negara asing mengandungi lirik fahaman komunisme.
Selain itu, katanya kegiatan mengibarkan bendera tanah besar China dan kewujudan persatuan yang mempromosi ‘Satu China’ di Malaysia,” ujarnya.
Justeru, beliau menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap siaga dan mengambil langkah menyiasat pertubuhan tersebut.
“Saya difahamkan media berbahasa Cina telah lama membuat liputan kegiatan pertubuhan itu, tetapi pihak berkuasa kelihatan tidak melakukan tindakan.
“Dikhuatiri persatuan tidak berdaftar ini mempunyai tujuan-tujuan hendap dan tersembunyi yang nanti akan mempengaruhi orang ramai untuk menerima amalan Komunis dalam kalangan sebahagian masyarakat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2025











