
DUNGUN: Sebanyak 24 barangan diwartakan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2025 peringkat negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, tahun ini menyaksikan peningkatan jumlah barangan dalam skim tersebut, berbanding 20 barangan yang disenaraikan pada tahun sebelum ini.
Katanya, empat barangan tambahan yang dimasukkan tahun ini ialah bawang merah kecil India, bawang merah kecil India (Ros), lobak merah dan santan.
“Senarai barangan harga terkawal turut merangkumi daging kerbau import RM21/kg, daging lembu tempatan RM39/kg, ikan tongkol RM14/kg, ikan kembung RM15/kg, ikan selayang RM12/kg.
“Beberapa jenis sayur-sayuran seperti kubis bulat import RM3.50/kg, sawi hijau RM5.00/kg, timun RM3.50/kg, tomato RM6.50/kg, cili merah RM16.00/kg, kacang panjang RM12.00/kg dan lobak merah RM4.50/kg.
“Selain itu, beberapa barangan lain yang termasuk dalam skim ini ialah bawang kuning besar import RM4.50/kg, bawang merah besar import RM5.00/kg, bawang putih import (China) RM11.00/kg, ubi kentang import (China) RM3.50/kg, halia tua import RM10.00/kg, cili kering kerinting RM19.00/kg, kelapa biji RM3.50 sebiji, kelapa parut RM13.20/kg dan santan RM17.50/kg,” katanya pada majlis pelancaran SHMMP 2025 di Sabasun Hyperruncit cawangan Dungun.
Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata, skim tersebut berkuat kuasa mulai 24 Mac hingga 7 April ini.
“Tempoh pelaksanaan adalah selama 15 hari, iaitu selama tujuh hari sebelum hari perayaan, satu hari pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan SHMMP adalah berdasarkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011, yang membolehkan kerajaan menetapkan harga kawalan di semua peringkat pengedaran termasuk pengeluar, pemborong dan peruncit.
Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, semua peniaga diwajibkan mematuhi harga yang ditetapkan serta memastikan barangan di bawah skim itu dilabel dengan tanda harga merah jambu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini. Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
“Kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal Individu; boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan Syarikat; boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/3/2025











