Birokrasi ketat jejas operasi bomba sukarelawan

Senator Che Alias Hamid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pindaan Seksyen 4B dalam Rang Undang-Undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 boleh menjejaskan keberkesanan Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) terutama di kawasan luar bandar.

- Advertisement -

Senator Che Alias Hamid berkata, langkah memindahkan pendaftaran PBS daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) ke Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berpotensi membebankan pasukan sukarelawan itu dengan prosedur birokrasi yang lebih ketat.

“Selama ini PBS beroperasi secara sukarela dengan pentadbiran sendiri, mengumpul dana sendiri dan menjalankan aktiviti berdasarkan kepada keperluan setempat dengan meletakkan mereka di bawah JBPM.

“Adakah ini bermakna mereka perlu mematuhi prosedur birokrasi yang lebih ketat seperti laporan tahunan yang terperinci dan kawalan operasi secara langsung.

“Jika ini berlaku saya bimbang ia boleh menyukarkan operasi mereka terutama di kawasan luar bandar yang bergantung kepada PBS kerana ketiadaan balai bomba yang berhampiran,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Selain itu, Che Alias turut mempersoalkan sama ada Jabatan Bomba bersedia untuk mengurus pendaftaran dan pemantauan PBS secara menyeluruh.

“Adakah jabatan bomba telah melakukan kajian impak terhadap beban kerja tambahan yang mungkin akan berlaku,” katanya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan untuk menilai semula cadangan itu bagi memastikan PBS dapat terus berfungsi secara berkesan tanpa halangan birokrasi yang tidak perlu. – HARAKAHDAILY 25/3/2025

- Advertisement -