Tingkatkan ekonomi rakyat melalui pelbagai inisiatif

Kerajaan Negeri Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan PAS Terengganu komited dalam usaha meningkatkan ekonomi dan mata pencarian rakyat menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak mengambil alih pentadbiran negeri pada 2018. 

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pelbagai langkah telah diambil bagi membantu golongan petani, nelayan dan penternak di Terengganu. 

“Banyak yang kita sudah buat dan banyak lagi yang akan dibuat dengan izin Allah,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, kelmarin.

Menurut beliau, antara kejayaan utama adalah penyelesaian isu lesen nelayan yang membelenggu golongan tersebut selama bertahun-tahun. 

“Orang ke laut berpuluh tahun cari rezeki sebagai nelayan dalam keadaan tak ada lesen. Tiada lesen bermakna mereka tak layak dapat Elaun Sara Hidup Nelayan, tak dapat minyak subsidi serta beberapa kemudahan lain dan cari rezeki pun dalam keadaan ‘haram’.

“Siapa yang selesaikan isu lesen sampan nelayan sehingga rakyat boleh cari rezeki dengan baik dan layak dapat bantuan yang menjadi hak mereka? Alhamdulillah, kami tubuhkan Task Force Isu Lesen Sampan Nelayan pada tahu 2019 dan 600 lesen telah berjaya diagihkan pada 2021.

“Apakah ini tak masuk dalam bab buat sesuatu untuk memudahkan rakyat cari rezeki?” soalnya membidas persoalan yang sering dibangkitkan iaitu ‘Adakah Kerajaan PAS Terengganu buat sesuatu untuk meningkatkan ekonomi mata pencarian rakyat?’

Beliau berkata, usaha memperkayakan sumber perikanan seperti penempatan tukun dan unjam juga telah meningkatkan hasil tangkapan nelayan.

“Perairan kita sangat kurang hasil laut terutama zon tangkapan nelayan pantai. Nak tingkatkan ekonomi nelayan kita perlu kayakan semula perairan dengan sumber perikanan. Nak suruh ikan mari semula ke perairan, kena buat rumah ikan.

“Inilah yang dinamakan tukun dan unjam. Usaha kita labuhkan tukun dan unjam telah terbukti meningkatkan pendapatan nelayan dengan data dan fakta peningkatan pendaratan hasil. Antaranya, sekarang ini sotong menyerbu perairan Terengganu.

“Saya nilai ini sudah masuk dalam usaha memudahkan mata pencarian rakyat,” katanya.

Kata beliau lagi, kerajaan negeri juga giat membaik pulih infrastruktur seperti jeti nelayan, jalan ladang, sistem pengairan dan perparitan yang sebelum ini dalam keadaan daif. 

“Banyak jeti nelayan yang uzur sehingga menyusahkan pendaratan bot nelayan dan pendaratan hasil. Payah nak mendarat maknanya payah nak cari rezeki. Banyak jeti nelayan kita telah baiki dan bina baru. Dapat jeti baru maknanya mudahlah urusan rakyat cari rezeki.

“Cuba teliti balik bagaimana keadaan jalan ladang, jalan pertanian, jalan sawah padi, sistem pengairan dan perparitan semasa kami ambil alih kerajaan pada 2018. Jalan becak, parit penuh rumput, longkang baruh padi tersumbat dan pelbagai lagi situasi mendukacitakan terpaksa dilalui petani dan pesawah kita.

“Mudahkan rakyat nak cari rezeki dalam situasi ini? Kami telah buat pelbagai usaha untuk memperbaiki dan menaik taraf infrastruktur  ladang dan baruh padi sama ada jalan ladang atau sistem pengairan.

“Hasilnya banyak baruh padi di Terengganu yang berubah wajah. Inilah adalah usaha bersasar untuk bantu ekonomi rakyat kita,” katanya.

Selain itu, untuk membantu golongan yang kekurangan modal, kata beliau, kerajaan negeri memperkenalkan Skim Bantuan Modal Tani sejak 2019.

“Sebelum ini apa yang kerajaan buat bila petani, penternak dan nelayan kita tak ada modal untuk mengusahakan kerja bagi mencari rezeki?

“Kerajaan PAS yang buat Skim Bantuan Modal Tani pada tahun 2019 untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat berhadapan masalah dana.

“Asalkan rajin nak buat kerja, modal disediakan kerajaan negeri dalam bentuk pinjaman mudah patuh syariat,” katanya.

Kata beliau, Tabung Bencana Pertanian Negeri turut diwujudkan bagi meringankan beban petani yang terkesan akibat bencana seperti banjir dan serangan hidupan liar. 

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga menyediakan Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN) di tiga daerah iaitu Besut, Setiu dan Kemaman yang kini hampir siap. 

“Nelayan kita tak ada rumah. Kita bangunkan Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan (PSN). Sekarang ini ada 3 Projek PSN yang hampir siap di Besut, Setiu dan Kemaman,” katanya.

Menurut Azman, kawasan seperti padang ragut dan tapak pertanian turut dimajukan melalui pelbagai program termasuk pembangunan hab lembu sado dan pemberian tanah kerajaan untuk pertanian. 

“Padang ragut di Terengganu sebelum 2018? Orang Terengganu kata macam tempat jin ttendang! Jalan masuk macam nak menuju ke dalam hutan dan bukannya tempat rakyat cari rezeki.

“Kita buat Program Pembangunan Padang Ragut dan Hab Lembu Sado yang merubah secara keseluruhan wajah padang ragut di seluruh daerah-daerah Terengganu.

“Kita bagi lembu sado kepada penternak-penternak sasaran. Bagi bimbingan dan panduan. Memang ianya belum selesai sepenuhnya tapi tak boleh buat semua jangan tinggal semua,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, Terengganu juga menarik pelaburan besar seperti projek lada hitam di Lembah Bidong, Setiu. 

“Kurang peluang pekerjaaan dalam sektor pertanian. Kita bawa pelabur besar dengan pelaburan bernilai ratusan juta masuk ke Terengganu seperti Projek Lada Hitam Mc Cormick di Lembah Bidong Setiu bernilai RM320 juta yang mampu menjana sehingga 2,000 peluang pekerjaan.

“Saya tak pasti dari mana data yang disebarkan kononnya jumlah pelaburan yang masuk ke Terengganu hanya kira-kira RM400,000 sahaja,” katanya. 

Ujar beliau, produk Terengganu diberi turut penekanan untuk menembusi pasaran antarabangsa dengan pelbagai program persijilan seperti Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).

“Kita mahu supaya produk Terengganu ada kualiti dan mampu menembusi pasaran antarabangsa. Maka Terengganu sangat fokus dengan program persijilan kualiti seperti MyGAP,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025

- Advertisement -