
KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM40,000 hasil kutipan sumbangan orang ramai seluruh Malaysia telah diserahkan kepada Muhammad Aish Daniel Mohd Faizal, kanak-kanak berusia tujuh tahun yang sedang berjuang melawan penyakit radang otak.
Penyerahan sumbangan itu berlangsung pagi tadi dengan dihadiri oleh Pengarah PASTI Terengganu, Syamri Abdul Razak, serta Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Fadhli Rahmi Zulkifli dan warga PASTI Kawasan Dungun.
Menurut Syamri, jumlah sumbangan tersebut bukan sekadar angka tetapi simbol kasih sayang dan solidariti rakyat Malaysia yang mahu melihat anak yang mesra disapa adik Aish itu kembali sihat seperti sediakala.
“Melihat senyuman kecil yang terukir di wajahnya pagi tadi, kami terasa betapa besarnya hikmah dalam usaha bersama ini.
“Walau siapa kita, di mana kita berada, Allah satukan hati-hati kita untuk membantu seorang insan kecil yang memerlukan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Tambahnya, sumbangan itu juga menjadi lambang harapan dan doa seluruh rakyat yang tidak pernah putus buat adik Aish.
“Adik Aish, kami semua bersama kamu. Teruslah kuat, sayang. Doa kami tidak akan pernah putus,” ujarnya.
Adik Aish sebelum ini menjalani kehidupan sempurna seperti kanak-kanak lain sebelum disahkan menghidap radang otak pada usia enam tahun.
Akibat penyakit tersebut, dia kini tidak lagi mampu berjalan, bercakap atau menjalani aktiviti seperti biasa.
PASTI Terengganu mengucapkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dan mendoakan kesembuhan Adik Aish.
“Semoga Allah memberkati setiap yang menyumbang, mendoakan dan bersama dalam perjuangan ini.
“Ingatlah, walaupun kecil usaha kita, ia mampu memberi harapan besar kepada yang memerlukan,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/1/2025











