
KOTA BHARU: Usaha Proton Holdings Bhd (Proton) memperkembangkan pengeluaran kereta elektrik (EV) dianggap langkah penting ke arah mengurangkan pencemaran alam sekitar berpunca daripada penggunaan bahan api fosil seperti petrol dan diesel.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Dato’ Sri Amar D’Raja Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, inisiatif Proton ini diharapkan mampu mengatasi masalah pencemaran seperti asap yang menjadi punca utama kerosakan alam sekitar.
“Jika usaha ini terus berkembang, tidak akan timbul lagi masalah pencemaran udara, seperti asap dan sebagainya,” katanya sewaktu merasmikan Proton E,MAS Kelantan JM Automobil Sdn Bhd, di sini hari ini.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa permintaan rakyat terhadap kereta elektrik akan bertambah baik, meskipun pada peringkat awal mungkin ada cabaran dari segi kefahaman dan penerimaan masyarakat.
“Sebagaimana kereta automatik yang dahulu dianggap asing dan menimbulkan pelbagai persoalan, hari ini hampir semua masyarakat lebih memilih kereta automatik berbanding manual. Kita berharap fenomena yang sama akan berlaku terhadap kereta elektrik,” jelasnya.
Beliau turut menyatakan satu hari nanti, kenderaan yang menggunakan petrol atau diesel mungkin tidak lagi relevan, seiring dengan perkembangan teknologi mesra alam.
“Semoga Proton terus maju dan masyarakat termasuk di Kelantan, dapat membuka minda untuk menerima teknologi ini sebagai langkah ke arah kehidupan yang lebih lestari,” tambahnya.
Beliau turut berpendapat, inisiatif ini menunjukkan komitmen Proton dalam menyokong usaha hijau negara, sekali gus menjadi pemangkin kepada perubahan besar dalam industri automotif tempatan.
Sementara itu, Proton Holdings Bhd (Proton) terpaksa meningkatkan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) model e.MAS 7 kepada 6,000 unit susulan permintaan luar biasa daripada pelanggan di seluruh negara.
Perakara itu dinyatakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah.
Kata Roslan, pada awalnya syarikat menyasarkan pengeluaran 3,000 unit sahaja dalam tempoh enam bulan, namun, permintaan melebihi sasaran malah ia dicapai dalam tempoh kurang satu bulan.
“Permintaan yang terus meningkat ini membuktikan penerimaan rakyat Malaysia terhadap EV dan mencerminkan daya tarikan produk keluaran Proton,” ujarnya.
Katanya, Proton e.MAS 7 yang dilengkapi teknologi terkini seperti motor 12-dalam-1, sistem audio dengan 16 pembesar suara, ruang dalaman luas, dan 33 ruang penyimpanan terbaik dalam segmen SUV ini, menyebabkan ia menjadi lebih menarik.
“Dari segi keselamatan, e.MAS 7 menerima pengiktirafan ASEAN NCAP dengan markah tertinggi dalam aspek keselamatan,” kata Roslan.
Beliau turut menjelaskan isu jarak perjalanan EV telah diatasi dengan integrasi peta pengecasan yang menyediakan maklumat lokasi 80 peratus poin pengecasan di seluruh negara.
Tambah beliau lagi, Proton e.MAS 7 ditawarkan dalam dua varian iaitu, Prime dengan harga bermula RM109,800 dan Premium pada RM123,800.
“Kami yakin model ini akan terus mendapat sambutan hangat kerana ia bukan sahaja menampilkan teknologi canggih tetapi juga memberikan nilai terbaik kepada pengguna,” tambahnya.
Langkah Proton ini selaras dengan usaha memperkukuhkan kehadiran syarikat dalam pasaran EV dan menyokong inisiatif hijau negara. – HARAKAHDAILY 21/1/2025












