Lancar kempen pelancongan baru ‘Indahnya Kelantan’

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Kelantan akan melancarkan kempen pelancongan baharu bertemakan ‘Indahnya Kelantan’ pada 1 Februari ini.

- Advertisement -

Program berkenaan akan diadakan di kawasan parkir Mydin Mall Tunjong, dekat ini yang bertujuan memperkukuhkan imej negeri sebagai destinasi pelancongan budaya dan keindahan semula jadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Kamaruddin Md Nor berkata, kempen ini merupakan kesinambungan daripada momentum Tahun Melawat Kelantan (TMK) 2024.

Jelas beliau, ia kelangsungan dari usaha lepas yang bertujuan untuk  memperkenalkan produk serta keistimewaan tempatan kepada masyarakat secara lebih luas.

Katanya, pelancaran akan berlangsung pada pukul 8:30 malam dengan pelbagai acara menarik seperti pelancaran lagu tema, persembahan kebudayaan, dan cabutan bertuah.

“Program ini adalah usaha berterusan untuk mempromosikan budaya, kesenian, dan tempat ikonik pelancongan negeri yang terkenal sebagai gedung budaya, keindahan alam, serta rakyatnya yang berbudi bahasa,” ujarnya.

Beliau juga menjangka pengunjung pasti teruja untuk memeriahkan pesta jualan makanan dan pakaian, aktiviti kesukanan, persembahan dikir barat, malam muzikal dan pameran pelancongan.

Sehubungan itu, beliau mempelawa semua rakyat Kelantan dan pelancong luar negeri untuk hadir memeriahkan suasana, menikmati pelbagai aktiviti disediakan, dan menyaksikan keunikan negeri ini dalam suasana penuh warna-warni. – HARAKAHDAILY 22/1/2025

- Advertisement -