
PADANG BESAR: Sebahagian Pusat Komuniti Orang Kelainan Upaya (OKU) di Chuping, di sini kini dalam proses baik pulih secara berperingkat untuk dijadikan pusat aktiviti komuniti setempat.
Usaha ini bertujuan melatih golongan OKU dan asnaf dalam kemahiran tertentu, selain meningkatkan kesejahteraan mereka.
Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi berkata, pihaknya sedang berusaha mendapatkan dana awal untuk melaksanakan kerja-kerja tersebut.
“Kami sebelum ini telah membantu Kak Gee (Fauziah Abdul) dan beberapa OKU lain menjalankan projek cendawan serta pertanian.
“Bermula dengan kursus asas, mereka menunjukkan komitmen yang tinggi,” katanya kepada Harakahdaily, di sini semalam.
Beliau turut berterima kasih kepada pasukan Prof Madya Dr Risyawati Mohamed Ismail dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang melaksanakan projek Pusat Jaminan Makanan, Inovasi dan Penyelidikan Pembangunan (FInDER).
“Alhamdulillah, kerjasama ini juga melibatkan institusi pengajian tinggi lain untuk membantu OKU dan asnaf di sini. Apabila projek ini siap, ia diharap dapat menjadi sumber pendapatan kepada mereka dan memberi manfaat kepada para petani setempat,” tambahnya.
Ujarnya, pusat tersebut dijangka siap dalam masa seminggu. – HARAKAHDAILY 22/1/2025












