Binaan pemecah ombak diteruskan selepas monsun

Di Batu Rakit

- Advertisement -

DUNGUN: Pembinaan projek pemecah ombak (breakwater) di Batu Rakit yang bertujuan mengatasi masalah hakisan pantai kini tergendala akibat cuaca buruk dan keadaan laut bergelora. 

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kelewatan itu berpunca daripada kesukaran membawa batu-batu yang diperlukan untuk pembinaan pemecah ombak ke kawasan berkenaan. 

“Semua sedia maklum pada waktu ini projek pembinaan pemecah ombak sedang berjalan tetapi peringkat ini, projek pembinaan tergendala sedikit kerana tongkang yang membawa batu-batu tidak dapat masuk ke lokasi disebabkan ombak kuat.

“Namun, dengan adanya 16 pemecah ombak ini kelak, ia akan menyelesaikan masalah hakisan di kawasan itu,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak TOD ECRL, di sini hari ini.

Beliau berkata, projek tersebut memerlukan masa yang panjang untuk siap, terutamanya apabila kerja-kerja berlangsung dalam tempoh Monsun Timur Laut yang sering membawa angin kencang dan ombak besar. 

“Kita kena faham bahawa nak siap pemecah ombak itu bukan hari ini kita rancang esok boleh siap, ia akan makan masa.

“Jadi oleh kerana sebahagian masa yang kita rancang itu adalah waktu Monsun Timur Laut dan juga waktu ombak yang kuat yang agak luar biasa berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Tindakan semasa yang kita ambil sekarang ini melalui JKR dan NADMA, bagaimana untuk menangani keperluan semasa ini,” katanya.

Samsuri turut memaklumkan bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan keadaan cuaca akan bertambah baik tidak lama lagi, sekali gus akan membolehkan kerja-kerja pembinaan disambung semula. 

“Insya-Allah, kita berada di penghujung musim ombak kuat. Selepas itu, projek yang sedang berjalan ini dapat diteruskan. Kita juga sedang menangani kawasan jalan raya yang terhakis,” ujarnya. 

Mengulas lanjut kata beliau, sebagai sebahagian daripada langkah menangani isu ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof, yang bertanggungjawab terhadap portfolio infrastruktur, dijangka turun ke Terengganu dalam masa terdekat. 

“Saya telah berbincang dengan Dato’ Sri Fadillah, beliau telah menyatakan komitmen untuk membantu dan dalam waktu yang terdekat ini beliau sendiri akan turun ke negeri Terengganu.

“Saya difahamkan begitu oleh pegawai beliau dan insya-Allah kita akan mengunjungi tapak untuk melihat apa tindakan segera boleh dibuat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 22/1/2025

- Advertisement -