
DUNGUN: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengingatkan agar masyarakat tidak terjebak dalam penyebaran fitnah berhubung insiden Orang Kelainan Upaya (OKU) dipukul di Kemaman.
Beliau meminta orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dengan teliti.
Katanya, walaupun kes tersebut kini menjadi tular di media sosial, adalah penting untuk tidak terburu-buru dalam membuat dakwaan tanpa mengesahkan kebenarannya.
“Saya minta kepada semua pihak di luar sana supaya meneliti fakta yang sebenar dan juga mengelakkan fitnah sebab saya lihat sangat viral fitnah kiri dan kanan yang sangat tidak berasas.
“Jadi berpolitik, politik juga tetapi fitnah jangan diamalkan. Sebab itu tanggungjawab kita dengan tuhan. Kalau nak jawab di hadapan tuhan, silakan,” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan ke tapak TOD ECRL, di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan kes tersebut, beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman memaklumkan bahawa siasatan sedang berjalan dan dijangka berada di peringkat akhir.
“Kes ini masih dalam siasatan dan sebelum ia diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut.
“Saya rasa cukup dengan apa yang telah disebut oleh Yang Berhormat ADUN Cukai, yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Jadi kita serah kepada pihak berkuasalah untuk tindakan selanjutnya,” tambahnya.
Terdahulu, media dilaporkan seorang lelaki OKU mental dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Chukai, Jumaat lalu.
Menurut polis, siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca apabila mangsa yang menunggang motosikal telah memasuki tapak jualan pasar tani lalu terlanggar sebuah gerai menyebabkan barangan jualan di gerai tersebut terjatuh.
Tindakan itu didakwa mencetuskan kemarahan beberapa individu yang bertindak memukul mangsa.
Insiden mangsa dipukul menarik perhatian ramai setelah rakaman video berdurasi 1 minit 52 saat mengenai kejadian itu tular di media sosial. – HARAKAHDAILY 22/1/2025











