Perlis sasar 1,000 jalani saringan kanser serviks

- Advertisement -

KANGAR: Negeri Perlis melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mensasarkan 1,000 wanita menyertai program saringan kanser serviks (Ujian HPV DNA) dan 350 lagi untuk subsidi mamogram pada tahun 2025.

- Advertisement -

Bermula tahun 2019 hingga Disember 2024, seramai 1,888 wanita di Perlis telah menjalani ujian HPV DNA dengan 79 kes dikesan positif.

Sementara itu, di seluruh negara, sebanyak 10,582 kes positif kanser serviks dikesan daripada 162,581 ujian yang dijalankan sepanjang tempoh sama.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Perlis, Wan Badariah Wan Saad berkata, Januari disambut sebagai Bulan Kesedaran Kanser Serviks di seluruh dunia.

Menurut beliau, kempen itu adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya saringan awal kanser reproduktif.

“Bagi Perlis, daripada anggaran 56,700 wanita berumur 30 hingga 65 tahun, hanya 3,965 wanita telah menjalani ujian HPV DNA setakat ini.

“Masih terdapat 52,735 wanita yang belum melakukan saringan ini,” katanya ketika merasmikan Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Serviks Peringkat Negeri Perlis 2025 di Lembah Saerah Resort, di sini hari ini.

Wan Badariah turut menyeru wanita mengambil peluang menjalani ujian percuma melalui kempen Kesedaran Wanita dan Reproduktif (WCaRe).

Jelasnya ujian itu dibiayai oleh Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN, yang mensasarkan 80,000 penerima manfaat di seluruh negara pada 2025.

Pelbagai program seperti perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak, kaunter informasi kekeluargaan, serta sesi perkongsian bersama pakar dan ‘cancer survivor’ turut diadakan sempena sambutan ini.

“Pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa. Dapatkan perkhidmatan ujian di Klinik Nur Sejahtera Kangar atau hubungi LPPKN Perlis untuk maklumat lanjut. Cepat tahu, cepat bertindak,” tambahnya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling dan Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah. – HARAKAHDAILY 20/1/12025

- Advertisement -