
ALOR SETAR: Sepanjang 2024, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak RM4,020,000 untuk Program Beras Sejahtera.
Jumlah berkenaan melibatkan kepada 80,400 penerima meliputi 36 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Kedah.
Pemberian Beras Sejahtera kepada penerima layak disertakan bersama barangan keperluan harian yang dianggarkan RM50 setiap set.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Insan dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali, pada 2025, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4.3 juta dengan sasaran 200 penerima setiap DUN.
Program Beras Sejahtera yang diperkenalkan pada Ogos 2020, sebaik sahaja Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Kedah pada 17 Mei 2020.
Ia merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk membantu golongan kurang berkemampuan di setiap kampung dan komuniti di 36 DUN di negeri itu.
Penerima Beras Sejahtera dan barangan keperluan harian itu, akan dikenal pasti oleh Majlis Ketua Kampung (MKK) sebelum majlis serahan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diadakan.
Sementara di DUN yang diwakili pembangkang akan diurus oleh Penyelaras DUN yang dilantik secara rasmi oleh kerajaan negeri.
Beras Sejahtera ini merupakan program bulanan di setiap DUN dalam usaha membantu meringankan beban golongan sasaran.
Bermula dengan 50 set setiap bulan, kemudian dinaikkan ke 150 dan terkini 200 set.
Pada 2020, sebanyak RM270,000 dibelanjakan untuk pemberian kepada 5,400 penerima bermula Oktober hingga Disember.
Sementara 2021, RM540,000 diperuntukkan kepada 10,800 penerima dan 2022 sebanyak RM2 juta melibatkan 44,400 orang.
Manakala pada 2023, pemberian selama empat bulan iaitu Januari hingga April, dibelanjakan sebanyak RM805,000 untuk 16,100 orang penerima. – HARAKAHDAILY 12/1/2025




















