
ARAU: Yuran Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) negeri Perlis ada yang serendah RM50 sebulan, menjadikannya antara pilihan utama ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka seawal usia 4 tahun.
Menurut Pengarah PASTI negeri, Abd Hadi Halipah, kadar yuran yang rendah menarik minat ramai waris.
“PASTI di negeri Perlis ada yuran serendah RM50 dan maksimum RM250, itupun disebabkan bayaran sewa premis.
“Keistimewaan ini, bersama pendidikan menyeluruh termasuk agama dan akademik, menjadikan PASTI pilihan ibu bapa,” katanya kepada Harakahdaily selepas Majlis Anugerah Prestasi PASTI Kawasan Arau di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Kangar, hari ini.
Majlis itu turut menyaksikan Wan Nur Afeeya Ammara Wan Mohd Nooriman dari PASTI Al-Furqan, Taman Pauh Indah, dinobatkan sebagai Tokoh Murid PASTI Kawasan Arau.
Antara yang menarik perhatian dalam acara tersebut adalah penyediaan Gerai Foto Berputar 360 darjah (Spin Foto Booth 360) dengan bayaran serendah RM5 sahaja, menjadi tarikan utama untuk ibu bapa dan murid-murid mengabadikan kenangan.
Seramai 320 murid dari 15 buah PASTI diraikan dalam majlis itu.
Sidang pertama dirasmikan oleh Ketua Dewan Muslimat PAS kawasan, Husna Hashim, manakala sidang kedua disempurnakan oleh Naib Yang Dipertua PAS kawasan, Mohd Ridzuan Hashim. – HARAKAHDAILY 12/1/2025











