Pekan Rabu Run ceriakan TMK 2025

- Advertisement -

ALOR SETAR: Lebih daripada 1,500 peserta dari pelbagai lapisan umur, menyertai Pekan Rabu Run 2025, yang diadakan semalam.

- Advertisement -

Larian tersebut diadakan sempena 100 tahun Pekan Rabu yang menjadi ikon perniagaan orang Melayu di Kedah.

Majlis pelepasan peserta larian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin.

Terdapat tiga kategori larian yang ditawarkan iaitu lima kilometer, 10 kilometer dan 10 kilometer untuk peserta senior.

Pekan Rabu Run 2025 tidak hanya disertai peserta dari kalangan rakyat negeri ini tetapi juga dari luar dan bertepatan Tahun Melawat Kedah (TMK) tahun ini.

Mohd Salleh mengharapkan, Program Pekan Rabu Run 2025 bukan sahaja program larian meraikan 100 tahun Pekan Rabu, tetapi dalam masa yang sama mempromosi pusat perniagaan itu kepada orang ramai.

Beberapa acara lain turut memeriahkan majlis sambutan 100 tahun Pekan Rabu, antaranya pertunjukan seni selit, gerai jualan dan cabutan nombor bertuah.

Pekan Rabu merupakan kompleks perniagaan orang Melayu yang berada di tengah-tengah bandar raya Alor Setar.

Mula beroperasi pada 1930 di tapak awal iaitu di Tanjung Chali dan kemudiannya berpindah ke tapak sekarang pada 1932.

Pelbagai barangan keperluan ada dijual di Pekan Rabu, seperti pakaian, peralatan sekolah, kuih-kuih kering, buah-buahan dan lain-lain, termasuk medan selera yang menyedia pelbagai menu untuk pengunjung. – HARAKAHDAILY 12/1/2025

- Advertisement -