Kak Wan kesah dan pesah: Bukti komitmen kepada warga

- Advertisement -

BERTEMAKAN “Kak Wan Kesah, Kak Wan Pesah”, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer, Wan Badariah Wan Saad membuktikan komitmen tinggi dalam memberi perkhidmatan kepada warga penduduk.

- Advertisement -

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Kak Wan berjaya melaksanakan pelbagai program kebajikan, pembangunan dan inisiatif khas demi memastikan kesejahteraan penduduk di kawasan Mata Ayer terus terbela.

Sebagai wakil rakyat yang sering mendekati komuniti, Wan Badariah sentiasa mendengar denyut nadi masyarakat dan memahami keperluan mereka.

Laporan prestasi setahun perkhidmatannya menjadi cerminan dedikasi beliau terhadap tanggungjawab yang diamanahkan. Dari sudut kewangan, sebanyak RM575,976 telah diperuntukkan untuk warga DUN Mata Ayer sepanjang tahun 2024.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM12,200 diperuntukkan untuk kebajikan, merangkumi bantuan bencana, ziarah kematian, serta bantuan kepada warga emas dan individu uzur.

Usaha ini bukan sahaja meringankan beban mereka yang memerlukan tetapi juga memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat.

“Saya melihat setiap cabaran rakyat sebagai satu peluang untuk berkhidmat. Kehidupan mereka adalah keutamaan saya,” ujarnya kepada Harakahdaily, di sini hari ini.

Selain bantuan kebajikan, Wan Badariah turut menumpukan perhatian kepada keperluan komuniti melalui pelbagai program yang melibatkan penyertaan masyarakat secara langsung.

Sebanyak RM69,726 digunakan untuk melaksanakan program komuniti seperti edaran bubur lambuk dan asyura, kayuhan mesra, fun run sempena Hari Malaysia, serta program ‘Back to School’.

Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberikan manfaat kepada penerima, tetapi juga memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan penduduk setempat.

Program seumpama itu menjadi platform penting untuk mendekatkan hubungan antara komuniti dengan pemimpin mereka.

Dalam aspek inisiatif khas, RM14,420 diperuntukkan oleh Wan Badariah untuk pelbagai sumbangan. Ini termasuk pemberian hamper kepada 210 penerima, bantuan Ramadan kepada masjid dan surau, serta sokongan kewangan kepada 26 pelajar institusi pengajian tinggi.

Langkah ini menunjukkan, perhatian beliau tidak hanya terhad kepada pembangunan fizikal, tetapi juga pembangunan sosial dan pendidikan generasi muda.

Peruntukan terbesar, sebanyak RM479,930, digunakan untuk aspek pembangunan. Projek-projek utama yang dilaksanakan termasuk naik taraf surau Taman Mata Ayer 2, pembaikan jalan di tujuh lokasi, pemasangan U-Drain, serta pembangunan lintasan sekolah dan pintu air.

Semua projek ini bertujuan meningkatkan kemudahan asas dan keselamatan penduduk setempat.

Keberhasilan pelaksanaan semua projek ini tidak mungkin tercapai tanpa kerjasama erat antara pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, dan komuniti setempat.

Wan Badariah mengakui, sokongan daripada semua pihak ini memainkan peranan penting dalam menjayakan visi dan misinya untuk Mata Ayer.

Beliau juga melahirkan rasa syukur atas peluang untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Setiap langkah yang saya ambil adalah untuk kebaikan rakyat, insyaAllah kita akan terus berusaha lebih keras pada tahun 2025, dengan perancangan yang lebih strategik untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin,” tambahnya.

Dengan tekad tinggi, Wan Badariah berhasrat untuk memperkukuh lagi perkhidmatannya melalui pendekatan inklusif yang melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat.

Beliau percaya, hanya melalui usaha bersama, matlamat pembangunan dan kesejahteraan dapat dicapai sebaiknya.

Jelas tema “Kak Wan Kesah, Kak Wan Pesah” bukan sekadar slogan, tetapi menjadi simbol dedikasi cakna dan usahanya yang diterjemahkan melalui tindakan nyata dari khidmat beliau sendiri. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

- Advertisement -