Pak Su Die mesti ada bila penduduk bergotong-royong

- Advertisement -

TIDAK semua bertuah memiliki wakil rakyat yang berjiwa rakyat dan berhati kebajikan.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu, Mohd Radzi Mat Amin, bukan hanya turun padang menziarah rakyat dan sampaikan sumbangan sahaja.

Tetapi sanggup menyinsing lengan, berkongsi tenaga, membantu tidak kiralah, majlis kenduri-kendara, rewang, gotong-royong atau sebagainya.

Mohd Radzi yang sinonim dengan panggilan Pak Su Die, langsung tidak kekok untuk bersama penduduk kampung bekerja bersama-sama.

“Nak rasa kekok dan malu, buat apa. Kerja-kerja macam tu memang kita dok buat selalu,” katanya.

Pak Su Die sebenarnya memang cekap membantu kerja-kerja kenduri kendara dan sering membantu di kampung-kampung sekitar Dewan Undangan Negerinya (DUN).

Memotong daging, membasuh daging, masak nasi dan lain-lain kerja, semuanya disertai beliau.

Malah penduduk kampung juga selesa dengan wakil rakyat yang berjiwa kebajikan seperti itu.

Tidak itu sahaja, Pak Su Die juga turut membantu ‘mengikat bata’ membina sebuah rumah penduduk di Kampung Sireh, Naka.

Beliau bersama beberapa anggota Jabatan Amal Kawasan Padang Terap, melakukan gotong-royong menyiapkan rumah tersebut.

“Tolong seperti ini, kurangkan beban tuan rumah. Semoga ada nilai di sisi Allah,” ujar beliau.

Bila hadir ‘makan kenduri’, beliau selalunya tidak duduk di tempat makan yang disediakan.

Sebaliknya lebih gemar bersila di atas tikar mengkuang di bawah pokok berhampiran ‘gedohok’ (dapur).

Suasana sedemikian bukan sahaja dapat mengeratkan hubungannya dengan masyarakat kampung tetapi juga menyelami masalah yang mereka hadapi. – HARAKAHDAILY 8/1/2025

- Advertisement -