Kelantan jangka tingkatkan KDNK 6% setahun bermula 2025

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan dijangka meningkatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) minimum sebanyak enam peratus setahun bermula 2025, kata Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud.

- Advertisement -

Menteri Besar menjelaskan, usaha itu diterjemahkan melalui pelaksanaan Hala Tuju Portfolio Kerajaan Negeri 2024-2028 menetapkan 89 mercu tanda, 117 bidang fokus, 337 strategi dan 750 pelan tindakan.

Menurutnya, hala tuju itu dijadikan penanda aras utama (KPI) kepada 11 exco kerajaan negeri, jabatan, agensi kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk anak syarikat dibawah kerajaan negeri (GLC).

“Kita harap pelaksanaan hala tuju portfolio ini dapat mencapai lima objektif yang ditetapkan iaitu meningkatkan sekurang-kurang enam peratus KDNK setiap tahun, pelaburan berimpak tinggi.

“Meningkatkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran, mengoptimumkan peningkatan hasil dan menyelesaikan sebahagian isu pembangunan di Kelantan bersama Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu dan Himpunan Penjawat Awam Negeri di Dewan Tok Guru Dato’ Bentara Setia di Kompleks Kota Darulnaim, di sini pagi tadi.

Turut hadir Timbalannya, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Speaker DUN, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah, mantan Menteri Besar, Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Setiausaha Kerajaan, Dato’ Nazran Muhammad.

ADUN Meranti itu berkata, bagi mencapai lima objektif itu, semua perancangan diperuntukkan menerusi Belanjawan 2025 dilaksanakan penuh integriti, telus, cekap dan bersinergi antara jabatan dan agensi.

Beliau berkata, setiap perkembangan dan kemajuan tersebut perlu dicatatkan dan disemak secara berkala dalam Mesyuarat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri yang diadakan setiap suku tahun.

“Saya juga akan memantaunya secara ‘real time’ melalui Sistem Pemantauan Prestasi dan Keberkesanan (i-SPARK) seliaan Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Strategik (SPARK), Pejabat Menteri Besar Kelantan.

“Ia merupakan suatu sistem yang dibangunkan oleh Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat (BPTM), Pejabat Setiausaha Kerajaan bersama anak syarikat kerajaan, Kelantan ICT Gateway Sdn Bhd,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/1/2025

- Advertisement -