Hotel di Pulau Poh bakal tingkat pelancongan

Tun Ahmad Faisal pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hotel Kerajaan Negeri di Tasik Kenyir, hari ini.
- Advertisement -

HULU TERENGGANU: Hotel milik kerajaan negeri terletak di Pulau Poh, Kenyir Geopark, dijangka menjadi daya tarikan baharu bagi pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus merancakkan lagi industri itu di daerah ini. 

- Advertisement -

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, hotel bertaraf tiga bintang itu dibina dengan menitikberatkan elemen mesra alam bagi memastikan kelestarian alam semula jadi tasik buatan manusia tersebut. 

“Hotel itu mula dibina pada 2017 oleh syarikat kontraktor Bina Puri Sdn Bhd dengan nilaian kos kontrak sebanyak RM97,406,012.90. Dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden antaranya 150 bilik dengan ketinggian lapan tingkat.

“Dewan Konvensyen dengan kapasiti muatan 1,000 tetamu, restoran (300 pelanggan), kafeteria (100 pelanggan), kolam renang dan taman permainan kanak-kanak dan 171 ruang letak kenderaan,” katanya pada sidang media Penyerahan Projek Hotel Kerajaan Negeri di Tasik Kenyir, hari ini. 

Majlis tersebut menyaksikan penyerahan dokumen hotel oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Terengganu kepada Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) yang mewakili kerajaan negeri.

Majlis penyerahan itu ditandatangani oleh Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan dan Khidmat Pengurusan) Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Mohd Fadhli Jusoh.

Majlis disaksikan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Ahmad Faisal dan Pengarah Kerja Raya Negeri Terengganu, Ir Dr Hasli Ibrahim.

Dokumen itu kemudiannya diserahkan kepada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun, sebagai pihak pengendali hotel. 

Menurut rekod, seramai 360,240 pelancong telah mengunjungi Kenyir Geopark sehingga November tahun ini, meningkat berbanding 218,157 pelancong pada tahun 2023.

Tambahnya, hotel tersebut diharapkan bukan sahaja menjadi tarikan utama pelancongan, tetapi juga menjadi pemangkin pembangunan ekonomi masyarakat setempat. – HARAKAHDAILY 24/12/2024

- Advertisement -