Demam: Penafian Indonesia calar reputasi Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penafian Indonesia bahawa presiden negara itu, Prabowo Subianto membatalkan lawatannya ke Malaysia disebabkan demam seperti didakwa Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menimbulkan persoalan dan kesan terhadap kredibiliti negara.

- Advertisement -

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, penafian itu bukan sahaja mengejutkan, malah telah memberi kesan yang buruk kepada rakyat di negara ini.

“Penafian ini bukan sahaja mengejutkan, tetapi turut mencetuskan persoalan adakah kita sedang menyaksikan pemimpin yang gemar mereka-reka cerita? Tindakan pemimpin kita mencipta alasan seperti ini hanya menyebabkan rakyat Malaysia merasa malu.

“Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Indonesia yang sepatutnya erat kini dicemari dengan kekeliruan yang tidak perlu. Apa yang lebih menyedihkan ialah kesan terhadap kredibiliti negara.

“Bila kenyataan rasmi pemimpin kita boleh dipersoalkan, bagaimana pemimpin serantau lain dapat mempercayai Malaysia dalam urusan lebih besar?” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas, kenyataan Anwar itu dianggap sebagai sebuah naratif lemah yang hanya mencalarkan reputasi negara.

“Dalam hubungan diplomatik, kenyataan pemimpin sesebuah negara membawa makna besar. Sebarang kenyataan yang tidak tepat atau tergesa-gesa bukan sahaja memalukan diri sendiri, tetapi juga mencalarkan reputasi negara.

“Dalam kes ini, kenyataan tentang ‘demam’ Prabowo nampaknya tidak lebih daripada sebuah naratif lemah yang mudah dipatahkan oleh fakta. Bukankah lebih baik untuk menyatakan kebenaran?

“Jika pertemuan dibatalkan atas sebab tertentu, rakyat tidak memerlukan cerita tambahan yang akhirnya memakan diri. Rakyat mahukan kejujuran, bukan alasan dramatik yang mencetuskan keraguan,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/12/2024

- Advertisement -