
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan penghargaan mendalam kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa banjir di negeri itu.
Menurut beliau, musibah melanda itu bukan sahaja menjadi ujian besar buat rakyat, tetapi juga menyaksikan semangat persaudaraan dan kemanusiaan luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Sebagai Ahli Parlimen Kemaman dan Menteri Besar Terengganu, saya ingin menzahirkan penghargaan yang mendalam kepada setiap insan yang sudi menghulurkan bantuan tanpa mengira negeri, bangsa atau latar belakang.
“Dari utara ke selatan, dari timur ke barat, jiwa-jiwa mulia telah bersatu demi membantu mangsa-mangsa banjir yang memerlukan. Ada yang mengerah tenaga, ada yang memberi sumbangan harta.
“(Juga) ada yang menitipkan doa tulus dari jauh,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, hari ini.
Beliau turut memuji keikhlasan sukarelawan, jiran tetangga dan semua telah berganding bahu di pusat pemindahan sementara, jalan-jalan yang dilanda banjir, serta lokasi-lokasi lain.
“Kita dapat lihat wajah-wajah penuh keikhlasan pasukan penyelamat, sukarelawan, NGO, kakitangan kerajaan, jiran tetangga dan sesiapa sahaja yang ringan tulang membantu.
“Setiap tangan yang dihulur membawa harapan, setiap sen yang disumbangkan memberi sinar, dan setiap usaha yang dilakukan menjadi bukti kasih sayang kita sebagai satu keluarga besar.
“Terima kasih atas solidariti ini. Inilah kekuatan kita, bersama kita mampu bangkit, mengharung segala dugaan. Semoga Allah memberkati usaha semua pihak dan menggandakan kebaikan kalian,” katanya.
Terdahulu, daerah Kemaman direkodkan sebagai kawasan pertama di Terengganu dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu mencatatkan angka tertinggi melebihi 40,000 orang ketika banjir kembali melanda pada penghujung November lalu. – HARAKAHDAILY 24/12/2024











