Belanjawan 2025: Pembangunan insan, anak muda

Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis (DPPNPs) menyatakan sokongan penuh terhadap Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Kerajaan Negeri Perlis di bawah pimpinan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.

- Advertisement -

Belanjawan bertemakan “Perlisku Bestari, Berkat Lestari” ini dilihat selaras dengan aspirasi pembangunan insan dan pemerkasaan generasi muda di negeri itu.

Ketua Pemuda PAS Perlis, Haziq Asyraf Dun menyifatkan usaha kerajaan negeri melalui pelbagai inisiatif sebagai langkah penting memajukan anak muda Perlis, termasuk Akademi Kepimpinan Generasi Bestari (GENBEST).

“GENBEST menawarkan latihan intensif dalam kepimpinan organisasi, pengurusan projek, dan pembangunan diri. Program ini turut merangkumi GENBEST Tech-Up untuk meningkatkan kemahiran digital belia.

“Serta GENBEST Inovasi Sosial yang menggalakkan belia mencipta inovasi menyelesaikan isu komuniti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri.

Selain itu, program GENBEST Volunteer Squad melibatkan sukarelawan belia dilihat mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, sekali gus memupuk rasa keprihatinan anak muda terhadap komuniti setempat.

Ujarnya lagi, elemen pembangunan modal insan juga diterapkan seperti Program Bulan Solat, Al-Quran, Ihya Ramadan dan kempen Jom Solat yang diagendakan oleh kerajaan negeri.

“Inisiatif ini berpotensi membentuk masyarakat Perlis yang berakhlak dan menjadikan negeri ini dikenali sebagai Anjung Madinah,” tambah Haziq Asyraf.

Beliau turut menyeru semua pemuda untuk memainkan peranan aktif dalam merealisasikan agenda Belanjawan 2025 demi manfaat generasi kini dan akan datang. – HARAKAHDAILY 13/12/2024

- Advertisement -