MAIK bantu masjid, surau terjejas akibat banjir

- Advertisement -

ALOR SETAR: Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK) telah memperuntukkan sumbangan sebanyak RM249,000 untuk disalurkan kepada masjid dan surau yang terjejas dengan banjir di beberapa daerah terlibat.

- Advertisement -

Sumbangan melalui Tabung Bencana Alam MAIK itu menyasarkan 11 masjid dan enam surau yang telah dikenal pasti di Daerah Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Padang Terap dan Sik.

Demikian yang dimaklumkan melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Agama berkenaan, semalam.

Sementara itu, gimik penyerahan sumbangan itu disempurnakan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Baginda yang juga merupakan Yang Dipertua MAIK menyerahkannya pada Majlis Sumbangan Bantuan Banjir Kepada Masjid dan Surau, di Masjid Lutfi, Kampung Suka Menanti, di sini semalam.

Antara kerosakan bencana banjir yang dialami oleh masjid dan surau, termasuklah mimbar, karpet, peralatan elektrik, penghawa dingin, perabot dan rak Al-Quran.

Termasuk juga merosakkan cat bangunan, pagar, dataran kejat dan peralatan stor, justeru pihak MAIK amatlah berharap agar bantuan yang disalurkan ini dapat membantu meringankan beban pihak terlibat.

MAIK juga berharap emoga dengan bantuan itu, aktiviti masjid dan surau dapat diteruskan seperti biasa. – HARAKAHDAILY 13/12/2024

- Advertisement -