
KOTA BHARU: Tersenarai dalam e-Kasih dan memiliki tanah sendiri antara syarat utama untuk memohon rumah di bawah Program Bina Baharu Rumah di Bandar.
Rumah berkenaan dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pemohon yang berkelayakan.
Senarai calon yang layak akan dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sebelum diangkat untuk kelulusan pihak KPKT.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, tidak semua permohonan diluluskan oleh KPKT kerana faktor tertentu yang berkaitan kelayakan.
Beliau menambah, walaupun tanah untuk pembinaan rumah terletak di luar kawasan DUN Bunut Payong, penerima ini layak kerana merupakan penduduk asal kawasan tersebut.
“Kita seharusnya bersyukur atas kurniaan ini kerana ia adalah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah.
“Pihak PKD Bunut Payong akan sentiasa memantau dan mengenal pasti mana-mana rakyat yang layak untuk mendapatkan rumah di bawah program ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan rumah di Kampung Pasir Jelatang, dekat sini semalam.
Rumah berkenaan diserahkan pada pemiliknya, Rosmawati Shaari dan suami yang merupakan penerima hasil inisiatif program tersebut.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Majlis MPKB-BRI, Mhd Nordin Ibrahim.
Shaari berharap, program ini diharapkan dapat terus membantu golongan memerlukan memiliki rumah sendiri dan memperbaiki taraf hidup mereka. – HARAKAHDAILY 13/12/2024




















