Peruntuk RM3.5 juta bina krematorium moden di Perlis

Untuk masyarakat bukan-Islam

- Advertisement -

KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis memperuntukkan RM3.5 juta bagi pembinaan rumah pembakaran mayat (krematorium) untuk masyarakat bukan-Islam, melibatkan kaum Tionghua, India, dan Siam.

- Advertisement -

Projek ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sebagai usaha menyediakan infrastruktur moden yang mesra rakyat.

Pengerusi Jawatankuasan Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) pada 27 April 2022 memilih sebahagian Lot 1671, Mukim Jejawi, berkeluasan 1.074 hektar sebagai tapak pembinaan.

“Jabatan Kerja Raya Negeri Perlis bertindak sebagai agensi pelaksana manakala Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis adalah agensi pembayar.

“Projek ini dibahagikan kepada dua fasa, pertama melibatkan kerja-kerja awal seperti tambakan tanah dan pelebaran jalan yang telah disiapkan pada 8 November 2024 dengan kos RM915,950.

“Fasa kedua pula melibatkan pembinaan bangunan utama dengan kos RM2.5 juta,” katanya pada sesi Soalan-soalan lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini semalam.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Gan Ay Ling (PH-Indera Kayangan) berkaitan bagaimana kerajaan negeri menggunakan peruntukan RM1 juta dalam pembinaan krematorium tersebut.

Ujarnya lagi, dengan kewujudan pertama kali krematorium berkenaan ia akan memberi kebaikan kepada rakyat Perlis khasnya kepada masyarakat bukan-Islam. – HARAKAHDAILY 11/12/2024

- Advertisement -