Nilai rugi, rosak akibat banjir akan dianggar, dilapor

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan membentangkan laporan kerugian dan kerosakan akibat banjir selepas musim monsun timur laut (MTL) dijangka berakhir pada Mac tahun depan.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, pihaknya bekerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama agensi lain bagi membuat penilaian tersebut.

Beliau berkata, usaha tersebut membabitkan nilai kemusnahan hasil pertanian dan penternakan, kerosakan harta benda dialami penduduk, infrastruktur dan kemudahan awam di negeri itu.

“Belum dinilaikan lagi sebab masih lagi banjir, kita berdoa semoga tidak ada lagi gelombang selepas ini tetapi anggaran kerugian itu tetap ada, cuma kita tunggu masa sesuai.

“Bila everthing dah settle baru boleh kita laporkan insyaAllah,” katanya ketika diminta mengulas mengenai kerugian yang diterima kerajaan negeri pada banjir gelombang kedua.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan banjir oleh Yayasan Ekonomi Kewangan Antarabangsa di pekarangan Masjid al Ismaili Pasir Pekan di sini semalam.

Media sebelum ini melaporkan jumlah membaiki keseluruhan jalan negeri dan persekutuan di Kelantan yang terjejas akibat banjir dianggarkan sebanyak RM 28 juta, kata Dato’ Dr Izani Husin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar itu turut mengenal pasti jumlah kerosakan merangkumi Jalan Jelawang, Jerek Gua Musang sebanyak RM5 juta.

Selain itu Jalan Tumpat-Tujuh-Geting yang ditutup kepada semua jenis kenderaan dengan kos RM2.6 juta dan kos RM12 juta baiki jalan termasuk Jalan ke Loji Rawatan Air Bukit Remah Tanah Merah. – HARAKAHDAILY 11/12/2024

- Advertisement -