
ALOR SETAR: Pengunjung atau pelancong yang ke Langkawi melalui ‘cruise’ akan dibawa sepenuhnya menggunakan ‘shuttle’ atau kenderaan ulang alik ke Resort World dan boleh memilih apa jua jenis pengangkutan untuk ke destinasi pilihan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata, dengan cara demikian, beliau yakin akan melancarkan lagi pengurusan semua pihak.
Selain katanya, memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di Pulau Langkawi, menjelangnya Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.
“Sebelum ini timbul masalah pengangkutan untuk ambil pelancong turun dari ‘cruise’ yang berlabuh di Langkawi Cruise Terminal.
“Mesyuarat hari ini, kita putuskan jalan penyelesaian di meja perundingan bagaimana cara terbaik mengatasinya,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya lagi, perkara itu sangat penting apatah lagi sempena TMK 2025 dan Langkawi antara destinasi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Terdahulu, Dato’ Salleh hadir pada perbincangan yang disertai Pejabat Daerah Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), MMC Port Holdings Sdn Bhd, Langkawi Cruise Terminal dan Resorts World Langkawi.
Termasuk Persatuan Pemandu Pelancong Langkawi dan Persatuan Tuan Empunya Dan Pemandu Kereta Sewa Langkawi (PTEDPKSL) yang diadakan di ALoft Hotel, Pantai Tengah, Langkawi.
“‘Shuttle’ akan bawa penumpang ‘cruise’ ke Resort World dan akan mengambil mereka kembali dari resort itu ke ‘cruise’ mereka semula,” katanya lagi.
Kata Dato’ Salleh, pihak kerajaan negeri sentiasa berusaha memberi yang terbaik kepada para pengunjung.
Agar katanya, percutian ke Langkawi atau mana-mana destinasi di Kedah menjadi kenangan indah dan merasai ‘Experience Kedah’. – HARAKAHDAILY 11/12/2024











