Sedia terima aduan, laporan lombong haram REE

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima aduan dan laporan mengenai sebarang aktiviti membabitkan perlombongan haram bahan mineral terutamanya unsur nadir bumi (REE).

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, Kelantan merupakan negeri kedua tertinggi selepas Terengganu yang mempunyai simpanan REE di negara ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG) meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan bagi menjaga REE daripada aktiviti perlombongan secara haram.

“Kita tingkatkan penguatkuasaan dan pemantauan dengan kerjasama agensi kerajaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti banyak terdapat REE ini khususnya di Gua Musang dan Jeli.

“Kita amat menghargai sekiranya ada malumat mana-mana pihak atau laporkan aktiviti mencurigai mungkin pihak berkuasa tidak sampai tetapi kita ada laporan kita amat hargai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Mabna (Bangunan) Membangun Bersama Islam (MBI), di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan perlombongan REE secara haram di Gua Musang sebelum diproses di Banting, Selangor untuk dieksport ke luar negara.

Mohamed Fadzli turut mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut, menumpaskan aktiviti perlombongan haram REE di Hutan Simpan Kekal (HSK) Lebir berhampiran Felda Aring 8 Gua Musang.

Operasi dinamakan Ops Khazanah itu turut disertai PTG dan Jabatan Mineral dan Galian (JMG) Kelantan merampas peralatan memproses REE termasuk makmal, kertas kiraan dan buku rekod.

Pasukan Jenayah Bukit Aman itu turut menahan 29 individu di lokasi iaitu merupakan pekerja asing yang tidak mempunyai dokumen sah selain sembilan orang penduduk tempatan terlibat.

“PTG diminta oleh PDRM untuk melakukan siasatan lanjut dibawah Seksyen 158 Enakmen Mineral 2001 susulan penemuan aktiviti yang disyaki perlombongan haram di kawasan itu.

“Polis Gua Musang telah menghantar surat memaklumkan apa yang berlaku kepada kita melalui PTG dan saya mendapat makumat penuh PTG Kelantan alhamdulillah, ini tindakan sangat baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/12/2024

- Advertisement -