
KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan memastikan mangsa-mangsa banjir mendapat bantuan sewajarnya terutama ketika Kelantan sedang beralih menghadapi gelombang kedua banjir.
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, ia termasuk membaik pulih kemudahan asas dan kediaman penduduk yang rosak.
“Tindakan pantas membantu penduduk yang terkesan perlu menjadi keutamaan, keperluan asas seperti bekalan makanan perlu dipastikan mencukupi dan disalur segera kepada mereka yang memerlukan.
“Begitu juga pemulihan jalan dan rumah yang rosak akibat banjir perlu ditangani segera, semoga dipermudahkan kita hadapi ujian ini,” katanya pada kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Bilik Gerakan Negeri, MABNA Kompleks Kota Darulnaim.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) sebelum ini menjangka luruan Monsun Timur Laut (MTL) berlaku dalam tempoh bermula 8 hingga 14 Disember ini.
Menurutnya situasi tersebut berpotensi menyebabkan hujan berterusan di kawasan pantai timur semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu seramai 40,298 mangsa membabitkan 12,979 keluarga masih berada di 93 buah pusat pemindahan sementara (PPS) di jajahan Pasir Mas, Tumpat, Kota Bharu dan Bachok. – HARAKAHDAILY 4/12/2024




















