
KOTA BHARU: Wakil rakyat di Kelantan membuat persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir yang diramal bermula esok.
ADUN Bunut Payong, Shaari Mat Yaman berkata, walau pun banjir gelombang pertama sudah surut, namun persiapan bagi menghadapi kemungkinan berlaku gelombang kedua diadakan.
“Kita mahu semua pihak sentiasa berada dalam keadaan siap siaga kerana gelombang banjir biasanya berlaku beberapa kali sepanjang musim tengkujuh.
“Biar pun pengalaman mengharungi air di paras pinggang di beberapa lokasi bagi membantu mangsa banjir masih terasa, namun persediaan menghadapi banjir gelombang seterusnya perlu dilakukan,” katanya di sini.
Menurutnya juga ketika banjir melanda baru-baru ini petugas Pusat Khidmat Dun Bunut Payong mengagihkan 100 pek makanan seperti beras, biskut dan makanan kanak-kanak kepada mangsa banjir.
“Sumbangan itu diagihkan kepada mangsa banjir di Jambatan Bunut Payong, Kampung Surau Kota dan Kampung Pintu Geng,” ujarnya.
Turut menyertai misi mengagih sumbangan kepada mangsa banjir Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Jalinan Ukhuwwah Penduduk Pintu Geng, Muhammad Abdul Hakim Othman dan beberapa ahlinya.
Kata beliau bantuan itu sebagai keprihatinan Pusat Khidmat DUN Bunut Payong kepada mereka yang terjejas banjir kali ini.
Shaari juga berkata, pihaknya menerima sumbangan individu dan agensi kerajaan untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas akibat banjir. – HARAKAHDAILY 3/12/2024




















