
KUANTAN: Pengurangan peruntukan bagi sektor pertanian dalam Belanjawan 2025 Pahang tidak seharusnya berlaku bagi menjamin kesinambungan sumber makanan di negeri ini.
Hassan Omar (PN-Lanchang) berkata, peruntukan sebanyak RM36.78 juta dalam pembentangan baru-baru ini adalah jauh lebih rendah berbanding RM58.93 juta yang diperuntukkan bagi tahun ini.
“Ini bermakna ia semakin berkurangan sebanyak RM22.15 juta, iaitu kira 37 peratus berkurangan. Sepatutnya peruntukan ini bertambah atau paling tidak sama dengan tahun ini 2024.
“Kerana kita tahu keperluan penambahan sektor pertanian untuk mengeluarkan makanan penting bagi masa depan rakyat kita di negeri Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Belanjawan 2025 Negeri Pahang di Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Keperluan untuk mewujudkan beras keluaran sendiri antara perkara yang turut disentuh oleh Hassan dalam perbahasan tersebut.
“Ramai di kalangan Ahli-ahli Dewan telahpun menyebut betapa perlunya untuk kita menghasilkan beras sendiri untuk negeri Pahang
“Ia menjadi penting buat masa ini dan seluruh negara juga menyebut kekurangan bahan tersebut yang menyebabkan banyak beras di import daripada luar negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2024











