
KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dianggap sebagai tiada ihsan apabila tetap meneruskan peperiksaan SPM biarpun lebih 5,000 pelajar terkesan akibat banjir.
Pensyarah Psikososio, Dr Zulkeflee Yaacob berkata, ramai ibu bapa merungut kerana anak mereka terpaksa menduduki peperiksaan dalam keadaan tidak bersedia.
Katanya, kesan psiko pasti berlaku terhadap mangsa banjir kerana mereka masih trauma dengan situasi banjir.
“Lebih-lebih lagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan. Ada pelajar yang hilang nota, buku dan peralatan sekolah kerana ditenggelami banjir.
“Sudah tentu masalah itu akan mempengaruhi mereka ketika menjawab soalan di dewan peperiksaan,” katanya di sini.
Di Dewan Rakyat hari ini ramai ahli parlimen termasuk penyokong kerajaan mencadangkan peperiksaan subjek tertentu ditangguh dan dibuat pada sidang kedua di kawasan yang terkesan akibat banjir.
Ahli Parlimen Indera Mahkota, Dato’ Sri Saifuddin Abdullah berkata, ketika era kerajaan Perikatan Nasional peperiksaan subjek tertentu diadakan pada sidang kedua disebabkan banjir dan wabak Covid-19.
Semalam, Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan dilapor berkata, tiada keperluan untuk menangguhkan peperiksaan SPM termasuk tarikh ujian lisan ketika bencana banjir kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor.
Katanya, kementerian mempunyai mekanisme menangani isu banjir terutama membabitkan peperiksaan awam khususnya SPM serta Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). – HARAKAHDAILY 3/12/2024











