Mohon milik tanah tak selesai halang bina kediaman

- Advertisement -

IPOH: Program Sayangi Rumahku dan insentif Pinjaman Rumah Perak berdepan risiko kegagalan sekiranya isu permohonan pemilikan tanah oleh rakyat tidak diselesaikan segera, kata Muhammad Faisal Abdul Rahman (PN-Trong).

- Advertisement -

Beliau menyuarakan kebimbangan tersebut ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Perbekalan Tahun 2025 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2025 pada Persidangan Dewan Negeri (DUN) Perak, di sini hari ini.

“Permohonan tanah di DUN Trong terlalu banyak dan perlu diselesaikan. Saya telah berkali-kali membangkitkan perkara ini supaya diambil perhatian oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar,” katanya.

Beliau turut menyenaraikan beberapa kawasan di mana isu pemilikan tanah masih tertangguh, termasuk Rancangan Kampung Tersusun (RKT) Kampung Wawasan, RKT Kampung Salak Baru dan RKT Kampung Nelayan Sungai Kerang.

Juga senarai beliau, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Cangkat Batu, RTB Kampung Kelubung dan RTB Kampung Berjaya Batu Hampar.

“Isu ini adalah keperluan asas rakyat. Kegagalan menyelesaikan masalah ini akan menjejaskan kehidupan mereka dan membantutkan pelaksanaan program kerajaan untuk menyediakan kediaman yang selesa,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru agar kerajaan negeri mengambil langkah proaktif untuk menangani kelewatan ini,  bagi memastikan setiap rakyat dapat memiliki tanah dan rumah milik sendiri. – HARAKAHDAILY 3/12/2024

- Advertisement -