
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff mengucapkan takziah atas pemergian Nur Atiqah My Yusoff yang merupakan isteri kepada Mohamad Izzudin Izhar atau lebih dikenali sebagai Cikgu Din.
“Innalillahi wainna ilaihi rajiun. Menerima perkhabaran duka perihal pemergian ke rahmatullah Allahyarhamah Nur Atiqah My Yusoff, isteri kepada Cikgu Mohammad Izzuddin Izhar dari SJK(C) Ming Wok in Kanowit, Sarawak.
“Ucapan takziah dan turut berduka cita kami sampaikan buat kaum keluarga Allahyarhamah,” katanya yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan dalam kenyataan.
Nur Atiqah, 30, dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 9 malam semalam di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan akibat kanser tulang rawan tahap empat yang dihidapinya.
Media melaporkan, suaminya Cikgu Din, berkongsi berita sedih itu melalui WhatsApp dengan meminta agar mana-mana hutang Nur atiqah dimaklumkan kepadanya untuk diselesaikan.
Solat jenazah Allahyarhamah akan diadakan di Masjid Putra Taman Desa SBJ Putra Pasir Pekan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Baru, Tumpat.
Kisah kesetiaan dan pengorbanan Cikgu Din menjadi perhatian warganet selepas dia berulang-alik setiap dua minggu dari Sarawak ke Kelantan untuk menemani isterinya yang mendapatkan rawatan.
Pada Oktober lalu, kisahnya mencuri tumpuan apabila media melaporkan rayuan Cikgu Din untuk bertukar ke Semenanjung demi menjaga isterinya ditolak.
Alasan yang diberikan, permohonannya tidak memenuhi syarat tempoh perkhidmatan minimum tiga tahun. – HARAKAHDAILY 3/12/2024











