
KUALA LUMPUR: Kedudukan Tumpat di hujung negara yang menjadi destinasi akhir aliran sungai utama seperti Sungai Kelantan dan Sungai Golok menjadikannya kawasan yang sangat terdedah kepada banjir.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, baru-baru ini, Smart Support Team (SST) menghadapi halangan untuk memberi bantuan bencana di Tumpat kerana terkandas di jalan raya.
“Adakah kerajaan akan mula membuat perubahan polisi ke arah pembinaan Lebuhraya Pertahanan yang akan mencakupi semua bidang berkaitan keselamatan dan juga logistik yang diperlukan untuk memberi bantuan ketika rakyat dalam keadaan bencana.
“Saya difahamkan semalam Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan telah pun datang ke Tumpat dan mengumumkan RM2.5 juta untuk satu jalan yang rosak di sana.
“Walau bagaimanapun saya perlukan jaminan Perdana Menteri untuk bajet tambahan segera bagi prasarana dan mobilisasi di sempadan dengan menaik taraf jalan Pengkalan Kubor ke Jubakar Pantai daripada jalan negeri kepada jalan persekutuan.
“Oleh kerana di beberapa tempat jalan ini sangat rosak dan memerlukan jambatan di lokasi-lokasi yang telah dikenal pasti,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Selain itu, Mumtaz juga memerlukan satu jaminan daripada pihak Perdana Menteri agar fasa dua dan tiga kes ban itu dapat dipercepatkan demi rakyat kerana mereka terpaksa menghadapi debu dan jalan berlubang yang sangat banyak.
“Kita mengharapkan kalau yang fasa pertama dah bergerak dan fasa kedua ketika ini sangat-sangat perlahan.
“Selain itu, berapakah jumlah bantuan yang akan diberi kepada penduduk yang rumahnya ditenggelami seluruhnya.. kalau sebelum ini ‘jarang-jarang’ sekarang ini, rumah tenggelam seluruhnya hampir berpuluh ribu.
“Jadi perkara ini perlu kita lihat dan saya mohon supaya ada jaminan Perdana Menteri agar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat dibuat di luar musim tengkujuh,” katanya.
Dalam soalan asal, beliau meminta Perdana Menteri menyatakan susulan bencana banjir dalam skala luar biasa kini yang melanda seluruh negara yang akan menempuh beberapa gelombang, adakah Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (DRR) akan dipercepatkan untuk membolehkan semua mega fasiliti mitigasi banjir disegerakan termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) ke Pantai Timur sehingga ke Tumpat, Kelantan.
Menjawab persoalan tadi, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, turut bersetuju dengan cadangan Mumtaz yang amat prihatin terhadap isu itu.
“Kalau rumahnya itu musnah semuanya maka kerajaan harus beri pertimbangan untuk memberikan ganti rugi yang agak munasabah agar dapat dibina semula.
“Saya tidak boleh beri pengakuan secara spesifik kerana setakat ini peruntukan segera hanya RM1 bilion, jadi kita masih tunggu maklumat secara teliti keseluruhannya,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2024




















