Majlis Makan Malam LKKS PAS hargai golongan OKU

Persembahan qasidah para pelajar maahad
- Advertisement -

PUCHONG: Majlis Makan Malam Mahabbah Prihatin OKU telah diadakan bersempena dengan tajaan umrah anak-anak orang kelainan upaya (OKU) anjuran Lajnah Kebajikan dan Keprihatinan Sosial PAS Pusat (LKKSPP).

- Advertisement -

Pengarah Program, Noor Hanim Ismail berkata, pihaknya merakamkan penghargaan buat golongan tersebut di atas kelebihan yang dimiliki mereka walaupun berdepan dengan kekurangan fizikal.

“Kalau kita tengok dari bentuk fizikal mereka, seolah-olah tidak berupaya. Tetapi sebenarnya, kalau kita tengok dari segi pekerjaan dan persembahan mereka, memang luar biasa.

“Saya selalu bercakap dengan anak-anak dan cucu-cucu, kita menghargai OKU ini sebab betapa mulianya mereka. Mereka tak nampak tetapi boleh menghafal Quran,” katanya.

Majlis yang diadakan di Kompleks Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari itu diserikan dengan persembahan nasyid daripada Skuad Upaya, persembahan qasidah oleh pelajar tahfiz, di samping pelancaran aplikasi PAS Prihatin.

Antara yang hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Ketua Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh serta Pengerusi LKKSPP, Dr Rosni Adam dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Turut hadir, Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Mohd Shafie Ngah dan Yang Dipertua PAS Puchong, Rasidi Mohamad Yusop serta Pengerusi Sekretariat Prihatin OKU Malaysia, Mohammad Faizal Che Yusof.

Noor Hanim dalam pada itu menyeru agar ahli-ahli PAS di Selangor untuk mencarum SkimPAS dengan bayaran hanya RM55 setahun.

“Ramai yang tidak ‘renew’ SkimPAS ini. Untuk makluman, bulan ini Selangor mendapat tempat pertama, yang tertinggi untuk mencarum.

“Sekiranya ahli kita ada satu juta, dengan RM55 setahun, kita boleh buat beberapa program untuk kebajikan anak-anak ahli terutamanya dari segi pendidikan, biasiswa atau sumbangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/12/2024

- Advertisement -