
KUALA LUMPUR: Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mencadangkan Malaysia mempertimbangkan untuk melaksanakan polisi pampasan bank bagi mangsa penipuan kewangan atas talian, seiring dengan langkah yang telah diperkenalkan di United Kingdom (UK).
Beliau menekankan keperluan pihak bank di Malaysia untuk mengambil tanggungjawab terhadap kehilangan wang pelanggan akibat penipuan siber.
Beliau merujuk kepada langkah yang diambil di UK, di mana pihak bank diwajibkan memulangkan wang kepada mangsa penipuan dalam tempoh lima hari bekerja melalui peraturan Mandatory Reimbursement Requirement, yang telah dikuatkuasakan bermula 7 Oktober 2024.
“Jika seorang rakyat Malaysia menjadi mangsa penipuan dalam talian, mereka biasanya akan membuat laporan polis dan mengharapkan bank bertanggungjawab untuk mengembalikan wang mereka.
“Di UK, pelanggan yang menjadi mangsa penipuan siber mempunyai hak untuk mendapatkan semula wang mereka daripada pihak bank dalam tempoh lima hari,” katanya.
Nurul Amin mengatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau turut meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh mana Malaysia bersedia untuk melaksanakan dasar serupa, yang memerlukan bank mengutamakan perlindungan dan ganti rugi kepada pemilik akaun.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam jawapannya berkata, Kerajaan memaklumkan bahawa pihak bank di Malaysia sudah membayar pampasan sebanyak RM178,407 kepada mangsa penipuan kewangan, selaras dengan Seksyen 413 KTJ (Kanun Tatacara Jenayah).
Menurutnya, pampasan diberikan sekiranya kecuaian pihak bank dalam memantau dan mematuhi peraturan dikenal pasti, seperti amalan di United Kingdom.
Beliau berkata dasar itu sedang dikaji untuk diperketatkan bagi memastikan bank lebih bertanggungjawab dalam melindungi pelanggan mereka. – HARAKAHDAILY 3/12/2024











