Tiada pelajar SPM Perlis terlibat banjir – Exco Pendidikan

- Advertisement -

KANGAR: Tiada pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Perlis dilaporkan terjejas akibat banjir, menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Negeri, Muhammad Azmir Azizan.

- Advertisement -

Beliau memaklumkan, seramai 3,552 pelajar menduduki peperiksaan itu di seluruh negeri melibatkan peperiksaan yang bermula hari ini dengan ujian bertutur Bahasa Melayu berlangsung hingga 5 Disember.

Ujian amali sains akan diadakan dari 9 hingga 12 Disember, diikuti ujian bertutur Bahasa Inggeris pada 16 hingga 19 Disember, dan ujian mendengar pada 31 Disember 2024.

Peperiksaan bertulis pula dijadualkan berlangsung dari 2 Januari hingga 6 Februari 2025.

Terdahulu, lapan sekolah yang terkesan akibat banjir telah menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), tetapi semua sekolah tersebut kini telah kembali beroperasi seperti biasa.

Antara sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hussein, SK Tengku Budriah, Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Aik, Sekolah Menengah (SM) Agama Al Madrasah Al Alawiyah Ad Diniah, SMK Dato Sheikh Ahmad, SK Arau, SK Guar Nangka dan SK Titi Tinggi.

Setakat ini, hanya satu pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Arau, menempatkan 233 mangsa daripada 73 keluarga.

Muhammad Azmir turut memaklumkan, dua PPS sebelum ini, iaitu di SK Guar Nangka dan SK Titi Tinggi di Padang Besar, telah ditutup setelah keadaan banjir kembali pulih. – HARAKAHDAILY 2/12/2024

- Advertisement -