
KANGAR: Sebanyak 1,500 hektar sawah terjejas dan menyebabkan kerosakan padi yang ditanam di kawasan sekitar Kampung Sungai Bakong, di sini akibat masalah aliran air tersekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Kepenggunaan, Razali Saad berkata, Kerajaan Negeri sudahpun mengambil langkah segera untuk menangani isu tersebut pagi tadi.
“Masalah ini berpunca daripada halangan pergerakan air di terusan. Kita telah mengarahkan kontraktor yang terlibat untuk menyelesaikan halangan tersebut.
“Selepas air surut, kita akan melakukan penilaian menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar dan langkah penyelesaian terbaik,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Beliau turut menjelaskan, kerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pertanian sedang dilakukan untuk mencari jalan penyelesaian, termasuk pemasangan pam air di lokasi strategik.
Dalam pada itu, petani digalakkan mendaftar dengan Agro Bank untuk mendapatkan perlindungan takaful tanaman padi yang kini ditawarkan secara percuma selama dua tahun.
Pendaftaran boleh dilakukan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) atau Jabatan Pertanian sebelum dilaporkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kerajaan Negeri.
“Ini adalah salah satu inisiatif kerajaan bagi meringankan beban petani yang terjejas. Saya menyeru petani untuk segera membuat pendaftaran bagi menikmati manfaat ini,” tambahnya.
Razali menjangkakan hasil padi mungkin menurun sekitar 15 peratus akibat situasi ini, namun yakin keadaan akan pulih selepas langkah pemulihan dijalankan.
“Projek untuk menaik taraf sistem saliran di kawasan ini hampir siap. Apabila projek ini selesai, dijangka tidak akan berlaku lagi banjir di kawasan ini,” jelas beliau.
Beliau turut memberi jaminan, tindakan segera diambil untuk memastikan kawasan sawah padi tidak terjejas lebih teruk, dengan masalah dijangka selesai dalam tempoh dua hingga tiga hari akan datang.
Kawasan ini, yang dikenal pasti sebagai kawasan bertakung, akan terus dipantau oleh kerajaan negeri dengan bantuan agensi berkaitan. – HARAKAHDAILY 2/12/2024




















