
KUALA LUMPUR: Senator Abdul Nasir Idris meminta kerajaan menjelaskan pendirian mengenai bantuan kepada pekebun kecil kelapa sawit, khususnya golongan yang baru menceburi bidang tersebut.
Beliau berkata, bagi meningkatkan hasil minyak sawit, penyertaan daripada golongan pekebun kecil perlu digalakkan.
“Jadi, kita nak tanya kerajaan apakah inisiatif ataupun usaha-usaha kerajaan untuk bantu di kalangan pekebun kecil dan terutamanya pekebun-pekebun kecil yang baru.
“Kalau pihak RISDA dia banyak untuk bantu pekebun-pekebun kecil getah. Tapi kelapa sawit ni kita nampak macam kurang bantuan yang diberikan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Abdul Nasir turut membangkitkan bahawa bantuan untuk tanaman integrasi, termasuk tanaman kontan bagi pekebun kecil sawit, telah ditamatkan sejak Ogos lalu.
“Umpamanya, contohnya bantuan untuk tanaman integrasi yang sebelumnya dilaksanakan untuk kelapa sawit, bantuan untuk tanam tanaman kontan.
“Jadi, saya difahamkan kata sejak bulan Ogos baru-baru ini bantuan ini telah ditamatkan,” katanya lagi.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin dalam jawapannya berkata, program integrasi dengan tanaman dan ternakan masih diteruskan dengan peruntukan tahun depan, meskipun terdapat persepsi bahawa ia dihentikan sejak Ogos.
Menurutnya, masalah utama adalah kekurangan staf Tunas MPOB untuk turun padang, tetapi kementerian bersedia menangani aduan mengenai akses panduan.
Abdul Nasir dalam soalan asalnya meminta Menteri Perladangan dan Komoditi menyatakan apakah usaha Kerajaan dalam meningkatkan lagi hasil minyak sawit serta eksport produk berasaskan sawit. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











