Saran orang ramai tangguh perjalanan ke selatan Thailand

- Advertisement -

KANGAR: Orang ramai adalah disarankan untuk menangguhkan perjalanan ke selatan Thailand buat sementara waktu berikutan banjir yang masih melanda kawasan seperti Hatyai dan Yala.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Sempadan Negeri, Izizam Ibrahim menjelaskan, langkah ini perlu bagi memastikan keselamatan tidak terancam, memandangkan situasi banjir di kawasan tersebut belum pulih sepenuhnya.

“Ketika ini, saya mencadangkan agar orang ramai menunda perjalanan ke kawasan tersebut sekurang-kurangnya untuk satu hingga dua minggu lagi bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan,” ujarnya kepada Harakahdaily di sini, hari ini.

Beliau turut berkata, air banjir dari Thailand tidak akan melimpah ke Perlis kerana negeri ini mempunyai sistem saliran yang baik, termasuk terusan di Kampung Wai.

“Keadaan banjir di Perlis tidak begitu teruk, dan air surut dengan cepat hasil daripada sistem saliran yang ada. Oleh itu, situasi di negeri ini boleh dikatakan terkawal,” tambahnya.

Izizam juga menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca semasa dan mematuhi arahan pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Sementara itu, beberapa kawasan di Perlis yang terjejas akibat banjir sebelum ini dilaporkan telah mula surut, dan keadaan kembali pulih. – HARAKAHDAILY 2/12/2024

- Advertisement -