
KUALA LUMPUR: Senator Ustaz Musoddak Ahmad menyeru kerajaan supaya menjalankan kajian terperinci mengenai isu yang membelenggu institusi kekeluargaan pada masa kini.
Beliau menekankan kepentingan institusi itu, yang turut disebut dalam al-Quran, dan mengaitkannya dengan peranan penting keluarga dalam membentuk masyarakat.
“Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka,” katanya, memetik maksud ayat al-Quran sebagai asas kepentingan institusi keluarga dalam Islam.
Beliau menyatakan demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawapan Lisan di Dewan Negara, hari ini.
Beliau turut bertanya sama ada kerajaan, melalui kementerian berkaitan, telah menjalankan kajian di peringkat negeri atau persekutuan untuk memahami situasi semasa terutama melibatkan peranan lelaki dalam institusi kekeluargaan.
“Kita lihat suasana pada hari ini, banyak institusi kekeluargaan runtuh. Tidak tahu apa puncanya. Adakah kerajaan telah membuat kajian?” soalnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar dalam jawapannya memberitahu, bagi memastikan inisiatif lelaki sebagai pemimpin keluarga berkesan, kajian berterusan dijalankan oleh JAKIM dan Jabatan Agama Islam negeri.
Beliau berkata, kajian itu membantu merangka program seperti kursus pra dan pasca perkahwinan yang relevan dengan perkembangan semasa.
Program itu juga menurutnya menitikberatkan aspek kepimpinan lelaki sebagai ketua keluarga.
Musoddak dalam soalan asal meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah Inisiatif Lelaki Qawwam (ILQ) telah diperkasakan oleh Kementerian dalam mengukuhkan institusi kekeluargaan yang kian rapuh kebelakangan ini. – HARAKAHDAILY 2/12/2024











