
IPOH: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hangat apabila Ketua Pembangkang, Razman Zakaria membangkitkan insiden pengibaran bendera China di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, yang tular September lalu.
Razman menegaskan, individu yang mengibarkan bendera itu adalah warga tempatan, bukan warga China, dan menyeru tindakan tegas diambil kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya telah menyiasat, dan individu-individu ini adalah rakyat Malaysia. Saya minta pihak polis mengambil bukti yang saya ada untuk disahkan. Jika saya salah, saya sedia menarik balik kenyataan,” katanya.
Razman (PN-Gunong Semanggol) berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Negeri Perak 2025 dalam Persidangan DUN Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Perbahasan menjadi tegang apabila Jason Ng Thien Yong (PH-Astaka) dan beberapa ADUN lain mendesak Razman mengemukakan bukti nama-nama individu yang didakwa.
Mereka mendakwa ia berikutan kenyataan polis sebelum ini yang mengesahkan pelaku insiden tersebut adalah warganegara China.
Razman bagaimanapun enggan menarik balik kenyataan tersebut, malah menyatakan kesediaannya untuk dikenakan tindakan jika isu itu dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Perak.
Mengulas lanjut, Razman menegaskan insiden tersebut melanggar Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, yang melarang pengibaran bendera negara asing di tempat awam tanpa kebenaran.
Polis Perak sebelum ini memaklumkan bahawa kertas siasatan insiden tersebut telah siap dan dirujuk kepada Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Bukit Aman sebelum diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara.
Kejadian yang berlaku berdekatan Menara Condong Teluk Intan itu mencetuskan kritikan ramai, termasuk dari kalangan pemimpin PAS Perak dengan menyifatkan tindakan tersebut mencemarkan sensitiviti dan semangat patriotik negara. – HARAKAHDAILY 2/12/2024












