
KUALA TERENGGANU: Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meluahkan rasa sayu apabila melihat calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir terpaksa berpindah-randah untuk menduduki peperiksaan bermula hari ini.
Beliau berkata, situasi banjir yang melanda negeri ini bukan sahaja menjejaskan ribuan pelajar dan keluarga mereka, malah banyak sekolah turut terlibat dalam ujian itu.
“Sayu hati melihat keadaan anak-anak pelajar yang terpaksa berpindah-randah dengan risiko keselamatan, namun perlu juga menghadapi peperiksaan demi mencapai impian masing-masing,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, semalam.
Samsuri turut mengajak semua pihak untuk mendoakan agar urusan dan hati calon-calon SPM 2024 dipermudahkan sepanjang menghadapi peperiksaan penting itu.
Terdahulu, dilaporkan seramai 1,734 calon SPM yang terjejas banjir di seluruh Terengganu berjaya menduduki peperiksaan Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang dijadualkan bermula hari ini hingga Khamis.
Kesemua pelajar berkenaan merupakan calon SPM dari 20 buah sekolah di enam daerah terjejas akibat bencana banjir.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong, pelajar berkenaan telah melalui pelan bencana banjir Ops Payung bagi membolehkan menduduki peperiksaan itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan. – HARAKAHDAILY 2/11/2024




















