Pelbagai pihak hulur bantuan kepada Kelantan

Menteri Besar rakam penghargaan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud terharu terhadap komitmen semua pihak yang bekerjasama membantu penduduk terjejas bencana banjir.

- Advertisement -

Dalam satu hantaran di Facebook hari ini beliau berkata, malapetaka yang sedang melanda Kelantan ketika ini dihadapi dengan penuh kesabaran serta semangat persaudaraan tinggi.

“Kita hadapi musibah ini dengan ukhuwwah, beban dan lelah kita hadapi dengan gagah, hati amat terharu dengan kerjasama semua pihak baik NGO-NGO dan agensi-agensi kerajaan.

“Malah individu perseorangan yang berganding bahu menghadapi ujian ini,” katanya sambil berkongsi gambar beliau menghantar air minum kepada penduduk memerlukan bekalan itu.

Keadaan banjir di Kelantan setakat jam 2:14 petang ini adalah seramai 95,942 orang membabitkan 29,637 keluarga masih ditempatkan di 278 pusat pemindahan sementara (PPS) dalam sembilan jajahan.

Situasi tersebut menarik perhatian pempengaruh media sosial dan beberapa usahawan tempatan termasuk Khairul Aming mengambil inisiatif bagi membantu mangsa banjir.

Khairul Amin Kamarulzaman dalam satu posting di Instagram miliknya memaklumkan dalam tempoh dua jam berjaya mengumpul bantuan disalurkan 2,000 mangsa banjir di Pasir Mas.

Sementara itu, Facebook ‘Senok Perut’ turut mendedahkan beberapa pengasas kedai makanan popular di negeri itu turut tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa banjir.

Mereka seperti Pengusaha Restoren Colek Bini yang dikenali sebagai ‘Kak Siti’; pemilik The Ve Cafe Bachok iaitu Shervin Fahri; Pemilik Nasik Berlauk Malam dan lain-lain.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024

- Advertisement -