
KOTA BHARU: Jabatan Amal Malaysia Pemuda PAS Kawasan Gua Musang telah mengerakkan dua bot fiber 25 kaki dan 12 kaki bagi membantu penduduk yang terjejas akibat bencana banjir.
Ketua Pemudanya, Mohd Habidin Hanipa berkata, pihaknya mengerakkan tiga anggota dan aset yang diatur gerak ke kawasan terjejas di Rantau Panjang, Pasir Mas dan Tumpat.
Beliau berkata, lokasi pertama yang dituju oleh konvoi tersebut ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti sebelum diteruskan ke tempat-tempat lain yang memerlukan.
“Alhamdulillah, gelombang pertama banjir tahun ini, Gua Musang tidak terjejas teruk sepertimana yang dialami oleh saudara-saudara kita di kawasan Hilir Kelantan sana.
“Adab bermasyarakat dan kerjasama utuh yang ada, kami turun ke hilir kali ini bagi memberi bantuan setakat yang kita mampu,” katanya dalam satu kenyataan Facebook hari ini.
Kelihatan hadir pada majlis pelepasan konvoi Jabatan Amal Dewan Pemuda PAS Gua Musang itu ialah Penyelia Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Ustaz Tarmizi Abdul Rahman.
Walaupun hari ini kebanyakan kawasan di negeri ini tidak hujan, namun jumlah mangsa banjir masih mencatat 95,942 orang membabitkan 29,637 keluarga sehingga jam 2:14 petang.
Mereka ditempatkan di 278 pusat pemindahan sementara (PPS) dalam sembilan jajahan di negeri itu selepas PPS di Gua Musang ditutup sepenuhnya bermula hari ini.
Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.
Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024




















