Exco sumbang generator lancarkan urusan PPS

- Advertisement -

TANAH MERAH: Susulan kejadian bekalan elektrik terputus di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Padang Kijang dekat sini, ADUN Kemahang, Datuk Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman telah menyerahkan generator kepada PPS terbabit.

- Advertisement -

Tindakan tersebut dilakukan bagi memastikan kemudahan asas seperti peralatan elektrik dapat digunakan oleh mangsa banjir dan petugas di lokasi tersebut sebaiknya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia Perdagangan dan Keusahawanan Negeri itu berharap mangsa-mangsa banjir tenang menghadapi situasi ini sebaik mungkin ketika berhadapan dengan pelbagai ujian ketika banjir.

“Selain itu, bantuan berupa bekalan makanan turut diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir melalui Pusat Khidmat DUN (PKD) Kemahang untuk memastikan kebajikan mangsa terus terpelihara,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Menurutnya, pihak berwajib telah menyediakan makanan asas, namun pihaknya turut menyalurkan sumbangan tambahan supaya kebajikan mangsa terus terjaga.

Lawatan beliau melibatkan dua lokasi yang mengalami kesan banjir paling teruk iaitu PPS Madrasah Kuala Kepok dan PPS Dewan Orang Ramai Padang Kijang, di sini.

Beliau memberitahu, banjir tahun ini adalah pengalaman pertama buat penduduk di kawasan berkenaan kerana sebelum ini ia tidak pernah dinaiki air seteruk itu.

“Kita bersyukur kerana setakat ini tiada kehilangan nyawa dilaporkan,” catatnya menerusi laman sosial, hari ini.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada agensi penyelamat, sukarelawan, dan penduduk setempat atas kerjasama erat dalam membantu mangsa banjir dan melancarkan pengurusan di PPS.

Menurutnya lagi, beberapa mangsa banjir di PPS terbabit mengadu paras air naik secara mendadak pada waktu malam.

Tambahnya, ramai penduduk tidak sempat membuat persiapan awal untuk berpindah, menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada bantuan pihak berwajib dan sukarelawan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024

- Advertisement -