Banjir Kelantan: Keadaan dilaporkan semakin pulih

Dato' Wan Roslan ketika menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS SK Pengkalan Kubor 2
- Advertisement -

TUMPAT: Keadaan banjir dilaporkan agak positif apabila ia semakin  surut berbanding pukul 12.04 malam tadi dengan jumlah terbaru mangsa banjir di Kelantan kini seramai 90,093 orang.

- Advertisement -

Setakat pukul 7:08 malam ini, sebanyak 28,025 keluarga ditempatkan di 259 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di 10 daerah di negeri ini.

Berbanding malam tadi, jumlah mangsa banjir seramai 95,676 orang  dari 29,606 keluarga ditempatkan di 283 PPS berdaftar di 10 daerah di negeri ini.

Bermula pagi tadi jumlah mangsa banjir telah berkurang seramai 5,583 orang dan sebanyak 24 PPS telah ditutup.

Pada masa yang sama air yang melimpah di Bandar Kota Bharu khususnya di sekitar Tambatan D’Raja juga telah surut.

Perkembangan itu berlaku berikutan hujan kembali reda bermula malam tadi hingga kini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, biarpun keadaan banjir semakin surut di beberapa tempat, namun orang ramai diminta berhati-hati.

Katanya, persiapan diri serta apa sahaja yang berkaitan perlu sentiasa ada untuk menghadapi gelombang-gelombang banjir seterusnya.

“Memang hari ini telah nampak perubahan sikit, hujanpun telah reda, air banjir juga nampak dah surut, namun mangsa yang dipindahkan di PPS masih terlalu tinggi dan kita perlu berhati-hati.

“Dengarlah nasihat dan penerangan pihak keselamatan yang lebih bertanggungjawab. Kalau mereka suruh kita pindah, pindah jangan tangguh-tangguh lagi,” katanya.

Sementara itu, Wan Roslan selaku juga ADUN Pengkalan Kubor antara pimpinan kerajaan negeri yang aktif turun membantu rakyat.

Beliau turut menyantuni penduduk setempat yang ditempatkan di PPS dalam DUN Pengkalan Kubor semenjak ianya dibuka 25 November lepas.

Dalam usaha membantu mangsa banjir dan kalangan yang terkesan bencana tersebut, para pembaca Harakahdaily boleh turut sama membantu dengan menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mereka.

Keprihatinan anda menerusi sumbangan kewangan boleh dibuat ke Tabung Kemiskinan Harakah (TKH) menggunakan akaun Maybank 5640 7013 0442 atas nama Parti Islam Se-Malaysia (PAS) – Jabatan Penerangan. – HARAKAHDAILY 1/12/2024

- Advertisement -